145 Views

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan ‘Ais Konfeksi Harumanis Perlis’ yang diadakan di Ben’s Independent Grocer (B.I.G.) The Linc Jalan Tun Razak Kuala Lumpur

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengurus Besar Sailors Gourmet Foods, Andrew Tan Gim Lee dan Pengedar bagi Kawasan Tengah Sailor’s Gourmet Foods, Ivan Ooi.

Andrew berkata, inspirasi Ais Konfeksi Harumanis Perlis bermula dengan lawatan beliau bersama Ivan ke Perlis pada Januari 2022 yang lalu bagi mengambil bahagian dalam Program Sumbangan Agihan Zakat MAIPs Peduli Bersama Tuanku Raja Muda Perlis.

Katanya, pada ketika itu beliau berkesempatan untuk mendekati budaya dan kebanggaan warga Perlis terhadap keunikan buah Harumanis Perlis.

Dari situ katanya, beliau bertanya kepada diri sendiri, bagaimana untuk menawarkan buah Harumanis Perlis kepada pengguna sepanjang tahun dengan mengekalkan rasa Harumanis Perlis yang unik dan istimewa ini.

“Apabila pulang dari Perlis, idea untuk menghasilkan ais krim Harumanis Perlis bermula.

“Semua warga di kilang dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan memulakan proses R&D serta merta untuk menghasilkan Konfeksi Ais Harumanis Perlis.

“Seperti rasa harumanis yang unik dan istimewa ini, pihak syarikat mengekalkan nama produk ini dalam Bahasa Inggerisnya’, Harumanis Ice Confection’,” kata Andrew.

Dengan inisiatif R&D dan pelancaran Ais Konfeksi Harumanis, beliau berharap dapat memperkenalkan lebih banyak produk-produk yang berasaskan Harumanis pada masa hadapan sesuai dengan moto syarikat Sailors Gourmet Foods itu sendiri iaitu ‘Taste The Difference’.

Produk berkenaan boleh diperolehi secara eksklusif di empat buah jenama pasaraya iaitu B.I.G., Village Grocer, BSC Fine Foods dan Leisure Grocer di bawah The Food Purveyor. – UTUSAN

From : https://www.utusan.com.my/nasional/2022/06/raja-muda-perlis-lancar-ais-konfeksi-harumanis-perlis/

Share
go top